Monday, March 1, 2010

KISAH-KISAH TAULADAN (PENCERITAAN)

Kisah-kisah ini boleh digunakan dalam P&P kita di kelas. Seperti kisah-kisah tauladan lain yang sahabat telah baca, cerita-cerita mengandungi nilai moral yang sangat tinggi dan boleh dijadikan panduan kepada kita dan pelajar-pelajar khususnya. Boleh diguna pakai dalam induksi set, semasa perkembangan isi dan juga dalam membuat kesimpulan dan penutup P&P sendiri. (Sebenarnya, kisah kedua tu sy dah tukar dr yg asal Dr.Tunku periksa. Tak berapa yakin dengan kisah yg lama tu, jd sy tukar yg baru..sesuai utk topik Ihsan terhadap binatang @pun pengajaran Haji..ikutla mna sahabt2 suke)


CERITA 1: TIDAK ADA KEBAIKAN YANG SIA-SIA

Di sebuah madrasah di pinggir bandar, seorang murid gigih menimba ilmu dengan gurunya. Pada suatu hari, si murid bertanya kepada gurunya tentang bacaan Al-Qurannya kepada tok guru tersebut.

”Apa gunanya kalau saya membaca al-Quran tetapi tidak memahaminya?” tanya murid tersebut. ”Bacalah dahulu, perlahan-lahan nanti Tok akan ajarkan maknanya.” jawab gurunya.

Murid itu pun terus membaca. Hari demi hari, bulan demi bulan berlalu. Lama kelamaan dia berasa jemu dan datang menemui gurunya semula. ”Tok, saya masih berasa usaha membaca tanpa memahami makna al-Quran ini sesuatu yang tidak berfaedah,” katanya. Lalu, Tok Guru tersebut membalas, ”Baiklah, Tok akan menyuruh kamu melakukan satu pekerjaan yang lebih bermakna.” Serta-merta wajah murid tersebut kembali ceria.

Tok Guru menyerahkan sebuah raga dan berkata, ”Kamu cedok air di sungai itu dengan raga ini, dan curahkan airnya ke dalam kolah madrasah kita. ” Si murid kehairanan. Mesti ada sesuatu yang luar biasa akan berlaku, detik hatinya. Dia ke sungai dan mencedok air dan secara tergesa-gesa dia berlari untuk menuangkan air ke dalam kolah. Namun sebaik bampai, air telah habis, menitis keluar dari celah-celah raga yang jarang itu. Begitulah dilakukannya berulang-ulang kali. Air menitis keluar dari celah raga dan kolah masih tidak dapat dipenuhi.

”Tok, perbuatan ini lebih tidak bermakna. Kalau Tok gantikan raga ini dengan timba, barulah ia boleh menampung air dan kolah akan penuh!”
Tok Guru tersenyum. ”Setiap yang Tok suruh pasti ada maknanya,” katanya perlahan. ”Apa maknanya Tok?”
”Menimba air dengan raga samalah dengan membaca al-Quran walaupun tidak memahami maknanya,” jawab Tok Guru.
”Sama-sama tidak ada faedahnya. Begitu?”
”Tidak, sama-sama ada faedahnya, pintas Tok Guru.

Anak muridnya jadi lebih hairan. ”Cuba kamu tengok raga yang kamu gunakan sejak tadi itu. Mulanya ia kotor, tetapi sekarang bukankah sudah bersih? Walaupun air di kolah tidak penuh tetapi raga yang kamu gunakan sudah bersih. Betul tak?” tanya guru tersebut.
”Betul Tok, jawab anak murid itu mengiakan . ”Ha, begitulah juga hati kamu ketika membaca al-Quran berulang-ulang kali. Walaupun belum memahami maknanya, tetapi paling tidak hati itu akan dibersihkan dengan kelalaian dan gangguan syaitan.

Muridnya mengangguk. Rupa-rupanya Tok Guru aku bukan setakat mengajar, bahkan juga mendidik! Bisik hatinya.


PENGAJARAN CERITA:
1. Sebagai murid, kita haruslah sabar dan tekun dalam menimba ilmu walaupun proses menimba ilmu itu begitu rumit dirasakan. Ini kerana, hasilnya nanti adalah sesuatu yang sangat berharga kepada kita.
2. Setiap perkara yang berlaku dalam hidup ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Jadi, sebagai seorang muslim kita hendaklah yakin dengan setiap ibadah yang kita lakukan ada ganjaran daripada Allah buat kita dan yang penting, ia bukanlah sesuatu yang sia-sia.

KAITAN DENGAN PENGAJARAN:
Tilawah Al-Quran Tingkatan 1.
Bab 1: Al- Quran Menjana Kecemerlangan Hidup


CERITA 2: ALHAMDULILLAH, JAGUH..

Lumrah bagi Pak Mail duduk-duduk di anjung rumah pada setiap petang. Sambil hirup udara segar seronok juga perhatikan ayam-ayam berebut makanan basi yang dilemparkannya.

”Tak berkemas lagi bang? Hari semakin dekat nak pergi haji ni,” tegur Mak Munah. Pak Mail tidak menyahut. Dia begitu leka melihat gelagat ayam-ayamnya seolah-olah ’bertelagah’ untuk cepat kenyang.

”Nantilah, esok-esok pun boleh kemas lagi,” balas Pak Mail. Dia semakin seronok memerhatikan ayam-ayam tersebut. ”Pelahap betul ayam-ayam ni,” rungut Pak Mail lalu mengambil lastiknya di atas para.

Mak Munah, isterinya memandang dengan terkejut. ”Jangan dilastik ayam-ayam tu, bang. Kan ustaz dah pesan, dekat-dekat hari nak pergi ni jangan cari pasal,” bantah Mak Munah.
Pak Mail tidak menghiraukan teguran isterinya itu. Ditarik pelantak lastiknya sambil membedek dengan teliti.

”Kiuk!!!”

Pak Mail tersengih melihat si Jaguh, ayam jantan jirannya yang cuba mengacau ayam-ayam lain mematuk makanan terkiuk dan tertujal dihentam batu. Si ayam terus lari dari situ.

”Sudah tu, bang,” tegur Mak Munah lagi. Begitulah Pak Mail setiap kali dia melihat ayam-ayam jirannya datang mematuk makanan di rumahnya. Ada juga ayam yang cedera tetapi Pak Mail tidak peduli kerana puas melihat ayam-ayam itu berlari apabila dilastiknya.

Hari berangkat ke Tanah Suci akhirnya tiba. Pak Mail dan isterinya dihantar oleh sanak-saudara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah. Sepanjang berada di Tanah Suci tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah waktu melontar jamrah di sana.

Hari pertama melontar, Pak Mail dapat meloloskan diri bersama isterinya hingga berada begitu hampir dengan Jamratul Aqabah. Semuanya berjalan dengan lancar.

Hari berikutnya sekali lagi Pak Mail dan isterinya dapat melontar jamrah tanpa banyak masalah. Namun, masuk hari ketiga Pak Mail mula mengeluh. Tak surut-surut manusia ni, kata Pak Mail dalam hatinya.

Apabila sudah berada di tempat yang baik, Pak Mail mula mengangkat lengannya untuk melontar. Sedang dia melontar-lontar itu, tiba-tiba sebutir batu sebesar telur ayam kampung menghentam dahinya. Pak Mail berasa amat sakit dan dia menekup dahinya dengan kedua-dua belah tangan. Darah mencucur keluar dengan derasnya. Mak Munah yang berada di belakang Pak Mail berasa cemas. Cepat-cepat dia menarik tangan suaminya keluar dari himpitan manusia yang sendat itu.

”Kenapa bang? Ya Allah, berdarah ni.”
”Aduh...,” keluh Pak Mail sambil terus menekup dahinya. Beberapa orang jemaah yang melihat kejadian itu segera membantunya tetapi Pak Mail bingkas bangun kerana terasa agak malu.

Pak Mail terus berjalan dengan pantas. Dia berasa sebal ditimpa petaka begitu. Apa kesalahanku? Tanya hatinya berulang-ulang kali.

Puas Pak Mail memikirkan kesalahannya. Tiba-tiba Pak Mail memandang isterinya. ”Masya-Allah Munah, aku disumpah ayam agaknya.”

Mak Munah tergamam tetapi terasa juga lucunya. Serta-merta dia terbayangkan suaminya duduk petang-petang hari sambil melastik ayam-ayam di halaman rumah.

”Alhamdulillah, alhamdulillah...,” ucap Pak Mail.
”Masih ada masa untuk bertaubat bang,” kata Mak Munah tertahan-tahan untuk tersengih.
”Alhamdulillah, alhamdulilllah...,” ucap Pak Mail terus sepanjang-panjang perjalanan pulang itu.

Tiba di khemah, ucapan alhamdulillah masih bermain di bibir Pak Mail. Rakan-rakan sekhemahnya berasa hairan.
”Kenapa pakcik?” tanya seseorang.
”Alhamdulillah...,” jawab Pak Mail.
”Kena batukah?”
”Iya. Alhamdulillah...”
”Kena batu pun alhamdulillah...”
”Pakcik dah dapat balasannya. Alhamdulillah...”
”Balasan apa?”
”Balasan dari ayam. Alhamdulillah...”

Semua tersenyum. Pasti ada kisah di sebalik ucapan alhamdulillah Pak Mail sedangkan dahinya berdarah itu. Mereka akan minta Pak Mail menceritakan apabila sesuai ketikanya nanti.

PENGAJARAN CERITA:
1. Janganlah kita menyakiti makhluk lain terutamanya binatang kerana mereka juga adalah makhluk ciptaan Allah.
2. Segala perkara buruk yang kita lakukan pasti akan mendapat balasan dari Allah sama ada di dunia mahupun di akhirat.

KAITAN DENGAN PENGAJARAN:
Hadis Tingkatan 3
Bab 7: Ihsan Terhadap Binatang

Friday, January 22, 2010

KUIZ ANALITIKAL

KUIZ ANALITIKAL
TOPIK: PUASA

Soalan 1: Ahmad pergi berbekam pada siang hari dalam bulan Ramadan yang lalu. Apakah hukumnya?

Jawapan: Tidak batal puasa sekiranya seseorang itu berbekam pada siang hari dalam bulan puasa kerana ia sama hukumnya dengan muntah atau mimpi bersetubuh pada siang hari. Ini dapat difahamkan dalam hadis yang berbunyi,
“Tiga perkara tidak membatalkan berpuasa adalah berbekam, muntah dan bermimpi.”

Soalan 2: Ramli berpenyakit gastrik dan tidak dapat meneruskan puasanya. Apakah hukum meninggalkan puasa tersebut?

Jawapan: Sekiranya beliau benar-benar berpenyakit gastrik pada bulan Ramadan sahaja, maka beliau dibolehkan berbuka ataupun tidak berpuasa dan wajib menggantikannya (qada) pada bulan-bulan yang lain yang tidak didatangi gastrik. Tetapi sekiranya beliau memang sentiasa berpenyakit itu selepas disahkan oleh para doktor, maka beliau boleh berbuka puasa dan wajib membayar fidyah sahaja.